KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pusat dan JAS Negeri Sembilan yang terlibat berhubung satu kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok.
EIAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, syor kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Ketua Pengarah JAS dan Pihak Berkuasa Tataterib (PBT) JAS itu susulan siasatan pihaknya terhadap aduan berhubung kes tersebut.
“Hasil siasatan ini akan turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh masa terdekat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa pihak berwajib termasuk JAS meningkatkan penguatkuasaan dalam mengatasi isu pembuangan sisa terjadual secara haram di negeri itu.
Ujarnya, sepanjang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan setakat Oktober tahun lalu, beliau menerima beberapa aduan termasuk kira-kira 100 tong dan tangki intermediate bulk container (IBC) mengandungi sisa kimia ditemukan dibuang secara haram di dalam sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Pelandok.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menyifatkan negeri itu sering menjadi ‘mangsa’ dan korban kepada kejadian pembuangan sisa berbahaya oleh pihak tidak bertanggungjawab meskipun Pusat Kualiti Alam di daerah tersebut diwujudkan bertujuan menguruskan sisa terjadual secara sistematik dan selamat. – MalaysiaGazette
















