JOHOR BAHRU – Kebanyakan peniaga Bazar Karat JB di Jalan Segget di bandar raya ini yang berpindah sementara ke tapak baharu di Jalan Duke tidak berpuas hati kerana tidak sesuai dan merugikan mereka.
Pengerusinya, Fuad Rahmat berkata, rata-rata peniaga Bazar Karat JB merasakan tapak baharu mempunyai banyak kekurangan, malah memerlukan penambahbaikan segera untuk keselamatan peniaga dan keselasaan pengunjung.
Beliau berkata, pemindahan berkenaan berlaku secara mengejut tanpa persiapan rapi dan sebahagian besar peniaga terpaksa menanggung kerugian kerana bilangan pengunjung berkurangan.
Menurutnya, laluan pengunjung juga kurang jelas dan tidak ceria seperti kawasan lama.
“Malah tempat parkir juga agak jauh hingga menjejaskan keselesaan pengunjung.
“Kawasan berbukit dan tidak rata menyukarkan peniaga membawa barang, mendirikan khemah selain pencahayaan dan lampu tidak mencukupi dan keadaan gelap menjadikan suasana suram.
“Apabila hujan berlaku limpahan air di beberapa kawasan peniaga yang curam bakal menambahkan risiko barangan niaga rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, peniaga dan pengunjung tiada tempat berteduh apabila hujan lebat serta angin kencang berikutan lokasi berkenaan agak terbuka dan lapang.
“Secara keseluruhannya lokasi baharu itu kurang promosi hingga orang ramai beranggapan bazar karat sudah dipindahkan,” katanya.
Sebelum ini pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengeluarkan notis pemberitahuan rasmi memaklumkan perpindahan tapak niaga tersebut ke Jalan Duke bermula 25 November lalu. – MalaysiaGazette
















