Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas hadir pertuduhan berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah berjumlah RM69,924.

Shamsul Iskandar, 51 dan Albert Tei,37, membuat pengakuan itu secara berasingan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar didakwa menerima rasuah berjumlah RM64,924 sebagai dorongan membantu syarikat Albert Tei yang mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Country Heights di Kajang, Selangor antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ahli perniagaan, Albert Tei didakwa di atas pertuduhan rasuah ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

Manakala Albert Tei atau nama sebenarnya Albert Tiann Jiann Cheng pula memberi suapan itu secara tunai kepada Shamsul Iskandar yang didakwa di bawah Seksyen 17(b) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan yang turut memohon menggunapakai jaminan RM150,000 dengan dua penjamin warganegara.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM terdekat selain tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Sementara itu, Albert Tei pula dibenarkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan jaminan warganegara.

Farah Ezlin turut memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948, kerana kedua-dua tertuduh berdepan empat pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan.

Ketika prosiding, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Shamsul Iskandar, tidak membantah permohonan itu. Selain Amer Hamzah, tertuduh turut diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Joshua Tay.

Keputusan itu turut dipersetujui barisan peguam yang mewakli Albert Tei iaitu Mahajoth Singh, Eric Paulsan dan Rajesh Nagarajan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan semula kes pada 8 Januari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast