Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR –  Tun Dr. Mahathir Mohamad yang konsisten melahirkan kebimbangan tentang kesan Perjanjian Dagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) meminta Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berhenti mempertahankan kepentingan kuasa besar itu.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu mahu Tengku Zafrul memulakan usaha membatalkan perjanjian berkenaan yang didakwa menggadai kedaulatan negara.

Perdebatan antara kedua-dua mereka semakin memuncak apabila Dr. Mahathir mendakwa perjanjian ART mengandungi klausa yang berpotensi mengetepikan dasar-dasar keutamaan bumiputera, khususnya dalam penggubalan dasar perdagangan dan sokongan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau merujuk kepada Klausa 6.2(1), yang menurutnya menyatakan Malaysia tidak boleh memberi bantuan bukan komersial, subsidi atau layanan keutamaan kepada GLC atau produk tempatan berbanding syarikat AS.

Dalam bahasa mudah, Dr. Mahathir mendakwa tidak ada keistimewaan kepada mana-mana GLC atau syarikat tempatan bila berurusan dengan AS.

“Maknanya dasar-dasar yang memberi kuota atau kepentingan kepada syarikat bumiputera tidak boleh lagi dilaksanakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tengku Zafrul bagaimanapun menolak dakwaan tersebut, dengan menyatakan bahagian akhir Klausa 6.2(1) membenarkan pengecualian bagi tujuan “public service obligations” (kewajipan perkhidmatan awam).

Kata bekas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, peruntukan berkenaan memastikan Malaysia masih boleh mengekalkan dasar tertentu yang dianggap sebagai kepentingan nasional.

Namun, Dr. Mahathir mempersoalkan maksud sebenar “public service obligations”, termasuk sama ada ia merangkumi dasar bumiputera.

“Pertamanya, apabila Zafrul perlu merujuk kepada pengecualian ini, ia bermakna bahawa kenyataan saya bahawa Klausa 6.2 (1) kepentingan bumiputera tidak dibenar oleh perjanjian ini jelas betul.

Keduanya, apakah yang dimaksud dengan public service obligations? Adakah ini termasuk kepentingan Bumiputera dan kebenaran kepada syarikat tempatan mendapat kelebihan ke atas syarikat-syarikat Amerika dan diskriminasi yang disebut terdahulu tidak terpakai?

“Dan Zafrul tidak pula nyatakan siapakah yang akan tentukan apakah yang didefinisi sebagai public service obligations? Sudah tentu bukannya Malaysia sahaja tetapi Amerika juga,” hujah Dr. Mahathir.

Tegas beliau, jika dilihat keseluruhan ART, ia jelas segala peruntukan dan tuntutan adalah untuk kepentingan AS.

Bahkan, jelasnya, Tengku Zafrul turut mengakui bahawa Malaysia terpaksa menandatangani ART.

“Tiba-tiba Zafrul nak yakinkan kita bahawa kita tak akan tunduk kepada apa yang Amerika tetapkan dan dia juga mendakwa bahawa dia sudah tetapkan red lines (syarat yang tidak boleh dilanggar) dengan Amerika bila berkaitan dengan kepentingan bumiputera.

“Setahu saya di dalam membuat perjanjian ART tersebut yang ada melukis red lines ialah Trump seperti yang dinyatakan oleh Kagan, Duta Amerika ke Malaysia yang sehingga kini tidak dinafi atau dibangkang oleh Zafrul atau Anwar,” kata Dr. Mahathir.

Beliau berkata, Tengku Zafrul tidak boleh terlampau bongkak sehingga tidak mahu mengaku sehingga tak mahu mengaku telah silap bersetuju dengan perjanjian ART.

“Ini bukan saya seorang yang kata. Ramai yang lebih bijak dan pakar kata semacam,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast