MELAKA – Seorang penunggang motosikal lelaki maut manakala penumpang kereta remaja perempuan cedera selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang, di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh berhampiran Pangsapuri Polis Temenggong, Taman Sentosa, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.
Mangsa lelaki, berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala remaja perempuan, 19 tahun yang menaiki Perodua Myvi cedera. Pemandu lelaki kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999.
“Setibanya pasukan diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Iswandy Ariffin, didapati sebuah motosikal dihempap pokok tumbang.
“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah pokok tersebut sebelum melakukan pembersihan bagi memastikan laluan selamat.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Sementara itu tinjauan MalaysiaGazette di lokasi kejadian jam 4.25 petang ini mendapat kerja-kerja membersihkan sisa pokok tumbang masih dijalankan.
Tinjauan mendapati, sebatang pokok besar tumbang menghempap dahan dan dua pokok lain menyebabkannya turut tumbang menutup keseluruhan jalan dua lorong. – MalaysiaGazette
















