Seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan cedera selepas dilanggar sebuah motosikal di Plaza Tol Perling, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan cedera selepas dilanggar sebuah motosikal di Plaza Tol Perling arah selatan di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kemalangan berlaku pada pukul 9.35 pagi di lorong motosikal plaza tol berkenaan.

“Kemalangan berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun yang berjalan di sebelah sebuah lori yang sedang bergerak perlahan, tiba-tiba melintas masuk ke laluan motosikal.

“Dia kemudian dilanggar sebuah motosikal jenis Honda NF125 yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang sedang bergerak lurus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pejalan kaki terbabit cedera di kaki kiri, badan serta muka dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Iskandar Puteri di sini.

Katanya, penunggang motosikal pula tidak cedera.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya mengesan perkongsian video yang tular dalam media sosial itu, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, laporan polis berhubung kemalangan itu sudah diterima pihaknya pukul 12.53 tengah hari semalam.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat di bawah Peraturan 41 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 41 LN 166/59) kerana pejalan kaki leka di tempat menyeberang pejalan kaki sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kita juga masih menyiasat tujuan sebenar pejalan kaki itu berada di laluan berkenaan ketika kejadian,” katanya.

Pada masa sama, Azrol Anuar menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Al Fiean Jimin di talian 010-9305810.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast