Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang pemuda yang melintas jalan maut selepas dirempuh kereta dipandu warga emas di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.45 malam.

“Kemalangan tersebut berlaku apabila mangsa melintas jalan dan pada masa sama sebuah kereta jenis Toyota Camry 2.4V (A) yang dipandu di lorong kanan oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Azrol Anuar menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azalina Abdul Raof 013-286486.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast