Elinoisna menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas pihak sekolah anaknya menandatangani surat aku janji, ketika ditemui di Taman Setia Indah, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal yang sedang bertarung dengan kanser risau dan terkilan apabila anak autismenya dihalang ke sekolah di Jalan Yahya Awal di sini, sejak 21 November lalu kerana didakwa membahayakan rakan lain.

Elinoisna Abu, 47, berkata, anaknya, Solehah Azzahra Nazri, 12, sebelum ini dikatakan mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian tantrum di sebuah kelas Darjah 5 pada 20 November lalu.

Dia yang bekerja sebagai pelukis pelan berkata, kejadian itu mengakibatkan anaknya yang bersatus orang kurang upaya (OKU) dimarahi seorang guru dalam sesi latihan tarian tamat persekolahan.

“Ini menyebabkan anak saya mengalami gangguan emosi, tantrum dan menangis serta lari masuk ke kelas junior Darjah 5 pada 20 November lalu.

“Dalam kejadian itu, tiada murid terkena atau cedera kerana sepanjang masa di dalam kelas, Solehah ditenangkan beberapa rakan baiknya malah tangannya dipegang ketika cuba membaling gunting secara rambang.

“Mereka mendakwa seorang murid cedera namun tiada kesan luka atau bukti gambar dan sebagainya sebaliknya saya difahamkan hanya pakaian murid itu terkoyak,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Setia Indah di sini hari ini.

Bercerita lanjut, dia berkata, malangnya selepas kejadian tersebut Solehah diarahkan cuti sekolah oleh guru besar bermula 21 November 2025.

Selepas 10 hari bercuti, dia beberapa kali berhubung dan bertemu pihak sekolah untuk meminta surat arahan rasmi dicutikan serta merayu anak sulung daripada dua beradik itu dibenarkan bersekolah semula namun tidak dipedulikan.

“Akhirnya suatu pertemuan diadakan dengan guru dan ibu bapa murid Darjah 5 pada 1 Disember 2025 yang mana anak saya didakwa membahayakan murid lain jika terus bersekolah di situ,” katanya.

Dia berkata, seorang bapa murid ugut mahu membuat laporan polis beramai-ramai bersama-sama ibu bapa murid Darjah 5 lain terhadap Solehah jika kembali bersekolah atau boleh dikenakan tindakan.

“Bapa murid itu menyatakan jika laporan polis dibuat, masa depan anak saya akan terjejas hingga tidak boleh ke tingkatan satu kerana kes itu tak diselesaikan.

“Malah ada seorang ibu murid menetapkan syarat jika anak saya bersekolah, saya mesti mengiringinya dari awal sampai tamat sesi persekolahan hari.

“Selepas perjumpaan itu saya balik ke rumah tanya sama ada anak saya masih mahu pergi hari akhir sekolah, tetapi Solehah tetap berhasrat ke sekolah kerana merindui sekolah dan rakannya,” katanya.

Elinoisna mengakui merasai tekanan emosi dialami Solehah dan menganggap perbuatan atau tindakan ibu bapa terbabit menganiaya mereka dua beranak.

“Saya seorang ibu tunggal anak dua yang kerja biasa-biasa, mana mampu nak lawan mereka yang ada kuasa walaupun hanya tinggal masa seminggu dua saja lagi nak bersama-sama kawan di sekolah rendah.

“Sepanjang tiga tahun bersekolah Solehah tak pernah agresif sebegitu, dia murid yang baik dan disayangi rakan-rakan, pihak sekolah patut berusaha mencari punca masalah dan membantu Solehah bukannya melarang dia ke sekolah hingga memberi tekanan emosi.

“Tambahan pula Solehah hanya mengalami mild autisme dan pengurusan sekolah juga maklum berkaitan perkara itu,” katanya.

Elinoisna berkata, Solehah merupakan murid cemerlang termasuk mendapat anugerah olahragawati dan Atlet Terbaik Sekolah 2025 dan pernah dua tahun berturut-turut ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD).

Dia turut membuat laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan menerima maklum balas bahawa anaknya tidak sepatutnya dihalang ke sekolah lalu mendorongnya menghantar Solehah ke sekolah pada 4 Disember lalu.

Ujarnya, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah menuntutnya menandatangani surat aku janji bahawa pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab dan perlu menanggung risiko Solehah disekolahkan.

Bagaimanapun dia enggan kerana PPD tidak memaklumkan wujudnya syarat sedemikian sebelum membuat laporan polis untuk mempertahankan tindakannya pada Jumaat lalu.

“Saya pesakit kanser tahap tiga yang menempuh pelbagai dugaan hidup, saya reda ketentuan Allah sekiranya saya dan anak OKU ini dikenakan tindakan sekalipun, asalkan Solehah dapat pergi sekolah sehingga hari terakhir Darjah 6 cukuplah buat kami.

“Solehah sedih kerana sedar dia hanya mempunyai beberapa minggu sahaja lagi untuk bersama-sama rakannya sebelum mereka membawa haluan masing-masing tahun depan (sekolah menengah),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas menyatakan pihaknya akan menyemak perkara itu dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast