Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.- (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais menarik diri daripada mendengar permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk merayu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi parti itu.

Abu Bakar yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menarik diri daripada prosiding itu atas alasan peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili responden sudah dikenalinya melebihi 30 tahun.

Pada prosiding itu, Azhar yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat hadir mewakili Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan pegawai awam parti itu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Peguam yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hadir bagi pendengaran kebenaran merayu BERSATU bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah ketika PRU-15 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 DISEMBER 2025.

Terdahulu, Abu Bakar menarik perhatian mahkamah bahawa beliau mengenal Azhar namun percaya perkara itu tidak akan menimbulkan konflik terhadap kepentingan awam yang mewajarkan beliau menarik diri.

Namun hakim berkenaan membuka ruang kepada pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding itu menyuarakan pandangan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, peguam, Datuk Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan, keempat-empat anak guammnya selaku responden, agak keberatan jika hakim berkenaan terus mendengar permohonan kebenaran merayu.

Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin hadir bagi pendengaran kebenaran merayu BERSATU bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah ketika PRU-15 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 DISEMBER 2025

Sehubungan itu, Hakim Abu Bakar bertindak menarik diri dan menetapkan esok untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran baharu.

Dalam pada itu, Azhar ketika ditemui wakil media sejurus mahkamah ditangguhkan berkata, beliau mengenali Hakim Abu Bakar sejak 1982 dan mereka pernah menjadi rakan sepengajian.

Pada prosiding itu, Presiden Mahkamah Rayuan bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pendengaran kebenaran merayu BERSATU bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah ketika PRU-15 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 DISEMBER 2025.

Hari ini sepatutnya ditetapkan pendengaran permohonan Ronald dan Muhammad Suhaimi untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.

Pada 4 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker yang enggan mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli parti itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali berpuas hati, surat Johari bertarikh 16 Januari 2023 yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi dibuat selaras dengan fungsi beliau dalam mengatur urusan dalaman Dewan Rakyat.

Mahkamah Rayuan berpendapat, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Teng Chang Khim melawan Badrul Hisham Abdullah dan satu lagi, hakim berpandangan bahawa tindakan Speaker berkenaan adalah kebal dan tidak boleh dicabar berdasarkan Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Chang Khim, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keputusan Speaker dalam menentukan sama ada terdapat kekosongan atau sebaliknya adalah urusan dalaman dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 2023, kedua-duanya menamakan lima responden iaitu Johari serta empat Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Bersatu turut memohon deklarasi bahawa keempat-empat ahli Parlimen telah terhenti daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan selain perintah agar Johari mengesahkan bahawa kerusi terbabit adalah kosong.

Pada 16 November 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk kebenaran merayu yang menyebabkan parti itu membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast