JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga di Taman Universiti, di sini, hidup dalam ketakutan selepas rumah mereka dibaling molotov cocktail kelmarin yang dipercayai perbuatan along.
Seorang bapa, Hoo Chong Kang, 58, berkata, kejadian tersebut disedari berlaku pukul 4.18 pagi kelmarin apabila terdengar bunyi dari halaman rumah ketika keluarganya sedang tidur.
Dia berkata, pemeriksaan di pekarangan rumah mendapati lantai depan terdapat kesan terbakar dan serpihan kaca disyaki bahan bakar yang dilemparkan.
“Apabila saya memeriksa rakaman CCTV (kamera litar tertutup) didapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki bangsa tidak pasti berhenti di hadapan rumah sebelum melakukan perbuatan itu.
“Mereka juga menampal notis di bahagian tiang pagar yang mencatat nama anak lelaki saya dan memberi amaran supaya menjelaskan wang dengan segera,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas membuat aduan kepada wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Ng Siam Luang di pejabatnya, di sini, hari ini.
Susulan kejadian tersebut Chong Kang menghubungi anaknya yang bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura untuk bertanyakan sekiranya benar dia meminjam wang daripada along.
Kata Chong Kang, anaknya yang berusia 30-an dan masih bujang memberitahu pernah berurusan dengan ceti haram bagi peminjaman wang namun membatalkan hasrat itu atas sebab tertentu.
“Anak saya mendakwa pernah berurusan dengan along yang pada awalnya mengaku sebagai syarikat peminjaman wang berlesan hingga tidak berfikir panjang untuk berkongsi maklumat peribadi mahupun butiran keluarga,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun anak lelakinya mendakwa tidak memperolehi pinjaman iaitu S$30,000 (RM95,192) seperti dijanjikan dan memaklumkan pihak berkenaan untuk membatalkan urusan itu.
Namun ujar lelaki tersebut, anaknya menjadi sasaran along yang mendakwa sudah memindahkan sejumlah wang ke akaun banknya sebelum menuntut kadar bunga S$10,000.
“Sejak itu, anak mendakwa dia menerima pelbagai ugutan daripada along yang mahu mengancam keselamatan keluarga sekiranya hingga terdesak menyerahkan S$7,000 (RM22,211).
“Mereka ugut mahu serang anak sekiranya membuat laporan polis, tidak disangka kini kami diganggu hingga tidak dapat hidup tenang,” katanya.
Pada masa ini katanya, dia hanya tinggal berseorangan dan menasihati isteri serta ahli keluarga lain menumpang di rumah kenalan buat sementara hingga masalah tersebut dapat diselesaikan.
“Saya bersengkang mata hampir setiap hari kerana bimbang rumah kami akan diancam semula hingga tahap kesihatan merosot.
“Mereka amat berani dan bebas melakukan apa saja umpama negara ini tiada undang-undang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Taman Universiti, di sini, kelmarin.
Dia berharap pihak berkuasa dapat memberkas individu yang mengancam keselamatan keluarganya.
“Bayangkan kita diganggu walaupun tidak membuat pinjaman, ia suatu tindakan yang zalim.
“Saya akui kecuaian anak mahu membuat pinjaman tanpa menyelidik latar belakang suatu intitusi kewangan tersebut. Situasi diharungi kami amat sukar dan kami buntu memikirkan nasib keluarga dan rumah.
“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya perbuatan mereka itu mengakibatkan kebakaran besar hingga mengakibatkan kami kehilangan aset serta nyawa,” katanya.
Sementara itu, Siam Luang berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sesuai.
“Orang ramai juga perlu lebih berwaspada dengan pelbagai taktik along bagi menipu peminjam,” katanya. – MalaysiaGazette
















