Gambar hiasan.

PILIHAN Raya Kampus (PRK) di institusi pengajian tinggi seluruh negara kembali mewarnai landskap pendidikan tinggi dengan semangat demokrasi mahasiswa.

Setiap universiti melaksanakannya mengikut acuan dan ekosistem tersendiri namun objektifnya tetap sama iaitu memilih kepimpinan pelajar yang mampu memikul amanah sepanjang tempoh perkhidmatan.

Seperti lazimnya, musim PRK turut menyaksikan pelbagai manifesto dan rancangan yang dikemukakan oleh calon.

Janji peningkatan kebajikan, pelaksanaan program dan cadangan pembaharuan sentiasa menjadi perhatian mahasiswa.

Persoalan yang wajar diketengahkan adalah sejauh manakah semua inisiatif ini mampu direalisasikan dalam tempoh setahun kepimpinan?

Di sinilah letaknya hakikat kepimpinan mahasiswa, ia bukan diukur pada gahnya slogan atau banyaknya janji kempen, tetapi pada kesungguhan dan disiplin dalam memastikan sesuatu perancangan benar-benar dilaksanakan.

Masa yang singkat menuntut fokus, kecekapan dan integriti. Mahasiswa tidak memerlukan kesempurnaan tetapi mereka berhak melihat komitmen yang jujur, kerja yang tersusun dan hasil yang memberi manfaat kepada komuniti kampus.

Untuk melahirkan pemimpin negara pada masa hadapan, asasnya bermula daripada generasi pada hari ini.

Mahasiswa adalah kelompok terpenting dalam membina minda dan watak kepimpinan. Namun sebahagian daripada mereka masih terperangkap dalam gaya hidup pasif yang sering digambarkan sebagai katak di bawah tempurung atau sekadar bergerak dalam kitaran ‘katil, kuliah dan kafe’.

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, sikap sebegini tidak lagi mampu menjamin masa depan yang kompetitif.

Peranan mahasiswa tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

Penglibatan aktif dalam persatuan pelajar membentuk bakat kepimpinan secara praktikal. Di sinilah mahasiswa belajar mengurus manusia dan tekanan, berkomunikasi di hadapan khalayak, merancang strategi, membina integriti serta menilai keputusan secara matang.

Nilai-nilai ini tidak diajar dalam bilik kuliah, tetapi diperoleh melalui pengalaman mengurus tugasan, projek dan organisasi.

Sehubungan itu, saya bawakan satu gagasan dalam Siri kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kali ini iaitu ‘Memahasiswakan Mahasiswa’ sebagai satu visi besar untuk mengembalikan mahasiswa kepada peranan sebenar mereka.

Gagasan ini menekankan keperluan melahirkan mahasiswa yang peka terhadap isu semasa memiliki pandangan jauh, berjiwa besar dan berupaya memikul tanggungjawab sosial.

Mahasiswa yang diimpikan ialah mahasiswa yang mampu berfikir melangkaui diri sendiri, menolak budaya hedonisme melampau, memahami makna Amanah, berani menyuarakan kebenaran dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Seperti yang pernah diungkapkan oleh Presiden Indonesia pertama, Ir Soekarno, “beri aku 10 pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia’.

Kata-kata itu menggambarkan betapa besarnya potensi golongan muda apabila mereka dipandu dengan visi, idealisme dan keberanian untuk berubah.

Dalam konteks Malaysia hari ini, mahasiswa adalah kelompok yang mampu menjadi pemangkin kebangkitan baru sekiranya mereka diasuh dan digerakkan dengan betul.

Generasi ini perlu keluar daripada zon selesa. Mereka harus berfikir secara kritikal melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan sahsiah serta menyumbang kepada komuniti melalui program kemasyarakatan dan kepimpinan.

Cabaran masa kini memerlukan anak muda yang tidak hanya hebat berbicara, tetapi teguh bekerja dan berani bertindak.

Akhirnya, masa depan negara bergantung kepada sejauh mana mahasiswa pada hari ini memahami peranan mereka sebagai pewaris kepimpinan.

Jika seluruh mahasiswa bersatu, membuka minda, menggilap potensi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing, maka negara akan mewarisi generasi yang bukan sahaja berpelajaran, tetapi juga berprinsip, berkarakter dan berdaya saing.

Malaysia memerlukan pemimpin yang bukan sekadar cerdik, tetapi juga berjiwa besar dan pemimpin itu sedang dibentuk hari ini, di kampus melalui pengalaman, amanah dan kesungguhan mahasiswa sendiri. – MalaysiaGazette

 

Muhammad Danish Suhailey
Naib Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast