Peta transit LRT Laluan Shah Alam.

 

SHAH ALAM – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang sebelum ini dijangka beroperasi hujung tahun ini tidak dapat memenuhi jadual pengoperasian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, projek tersebut kini masih dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan yang merangkumi beberapa komponen kritikal demi keselamatan penumpang.

“Ia termasuk ujian percubaan, ujian larian tanpa gagal dan operasi percubaan yang perlu dipenuhi sebelum semua dokumen teknikal dapat dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Dara (APAD) untuk permohonan Lesen Pengendali Rel,” katanya ketika sesi taklimat media di Stesen Stadium Shah Alam.

Sesi taklimat itu turut disertai Pengarah Projek Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3), Patric Hwang.

Menurut Amir, sebanyak 33 isu teknikal membabitkan perisian dan gangguan sistem dikenal pasti sepanjang tempoh ujian larian tanpa gagal yang dilakukan selama dua bulan setengah.

Amir Hamdan ketika memberi taklimat di Stesen Stadium Shah Alam.

Menurut beliau, sepanjang FFR bermula pada 26 Ogos 2025, beberapa isu teknikal melibatkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi telah dikenal pasti.

“Isu-isu ini memerlukan tindakan pembetulan oleh pihak terlibat termasuk kontraktor isyarat, kontraktor tren (LRV), dan SULRT3 sebelum sistem boleh diterima oleh Prasarana dan seterusnya melangkah ke fasa operasi percubaan.

“Bagi tren utama atau “golden train”, ujian FFR mensyaratkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer tanpa sebarang kegagalan.

“Bagi set tren lain dalam kumpulan sama, jarak ujian ditetapkan pada 3,000 kilometer, manakala tren selebihnya perlu melengkapkan 2,500 km sebelum memperoleh kelulusan untuk operasi,” katanya mengulas lanjut.

Katanya,, antara isu ralat perisian dan gangguan sistem yang dikenal pasti adalah kegagalan tren berhenti di platform dengan tepat, tren tidak dapat meneruskan perjalanan ke stesen seterusnya dan pergerakan tidak mengikuti kelajuan.

“Semua isu-isu sedang dianalisis oleh pihak kontraktor dan kerja-kerja penambahbaikan perisian sedang dijalankan bagi memastikan kestabilan, ketepatan dan kebolehpercayaan sistem,” tambahnya.

Terdahulu Amir berkata, kesiapsiagaan pengendalian LRT Laluan Shah Alam kini di tahap melebihi 90 peratus dari segi tenaga kerja dan latihan sebelum percubaan operasi.

Dalam pada itu,  beliau berkata, Prasarana akan mengadakan sidang media pada pertengahan Januari depan bagi memberikan perkembangan semasa status ujian dan kesiapsiagaan projek berkenaan.

“Setakat hari ini kita perlu memastikan ujian berjalan dengan baik, kita harap pertengahan Januari kita akan dapat pengesahan.

“Kami perlu pastikan sistem stabil kalau tidak stabil masih belum boleh beroperasi,” katanya lagi.

Amir berkata, pihaknya sentiasa memaklumkan perkembangan semasa kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kami memaklumkan perkembangan kepada Menteri (Pengangkutan) sekali kali seminggu, dan kerajaan faham situasi semasa,” tambah beliau.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast