KUALA LUMPUR – China National Electric Apparatus Research Institute Co., Ltd. (CEI) melalui anak syarikat, CVC menjalin bekerjasama dengan SIRIM QAS International Malaysia bagi melancarkan Program Pensijilan Produk Premium SIRIM-CVC.
Pencapaian itu merupakan pengiktirafan bersama serantau bagi pensijilan kualiti bertaraf tinggi antara China dan Malaysia sekali gus menyuntik momentum baharu dalam pemudahcara perdagangan merentasi rantau kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) .
Bagi mencapai persepakatan tersebut, kedua-dua pihak telah melaksana lebih daripada 14 bulan pertukaran berperingkat tinggi sebelum menandatangani Memorandum Perjanjian secara rasmi baru-baru.
CEI berkata, berdasarkan pengiktirafan bersama yang mendalam, kumpulan pertama pensijilan meliputi lebih 10 kategori produk utama termasuk peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, ketuhar, kipas siling, televisyen, penapis udara dan kunci pintu pintar.
“Pensijilan ini menilai aspek teknikal utama seperti prestasi produk, kebolehpercayaan, ketahanan, kelestarian alam sekitar, keselamatan siber dan ciri-ciri canggih lain.
“Dengan menyatukan produk, piawaian dan pelabelan, ia sekali gus mencapai satu ujian, satu sijil bagi pengiktirafan bersama oleh kedua-dua pihak.
“Inisiatif ini secara langsung menunjukkan kualiti premium produk, meningkatkan penerimaan dalam kalangan pengguna dan pembeli, serta memperkukuh daya saing produk berkualiti tinggi di pasaran China, Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi kerjasama itu, ia juga akan mempercepatkan transformasi bersepadu, pintar dan bertaraf tinggi dalam sektor perkakas rumah dan elektronik pengguna.
Selain itu, pelan perancangan masa depan CVC akan memperdalam kerjasama dengan SIRIM untuk mengukuhkan asas kualiti perdagangan dua hala, memastikan kemajuan teknologi dalam perkakas rumah dan elektronik pengguna memberi manfaat kepada isi rumah di kedua-dua negara.

Sementara itu, mengenai kerjasama China dan Malaysia, Pameran Canton ke-138 yang telah dianjurkan baru-baru ini melibatkan hampir 200 wakil dari negara anggota termasuk China, Thailand, Malaysia dan Korea Selatan menghadiri acara tersebut.
Dalam majlis berkenaan, jenama Haier, Midea, Toshiba, Hisense, dan DESMAN telah berjaya melepasi penilaian teknikal dan dianugerahkan kumpulan pertama Sijil Produk Premium SIRIM-CVC.
Sijil ini menyerlahkan keupayaan kajian dan pembangunan serta pembuatan yang kukuh, sekali gus memperoleh ‘pasport’ berkuasa untuk persaingan pasaran.
“Hal ini memastikan pengguna di China dan Malaysia mendapat akses kepada produk premium berkualiti tinggi, meningkatkan taraf hidup,” ujar kenyataan.
Turut diadakan Majlis SIRIM Industri (MSI) 2025 yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dihadiri lebih 800 wakil daripada persatuan industri Asia Tenggara, perusahaan terkemuka, dan pihak berkuasa pengawalseliaan.
Sepanjang persidangan, wakil kanan dari SIRIM QAS dan CVC menyampaikan sijil penghargaan kepada syarikat yang diperakui termasuk Haier, Midea, Toshiba dan Hisense. – MalaysiaGazette
















