KUANTAN – Seramai 3,076 individu didiagnos sebagai pesakit kesihatan mental di Pahang pada tahun lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, jumlah pesakit kesihatan mental didapati terus meningkat setiap tahun sejak tahun 2020.
“Pada tahun 2020 merekodkan seramai 1,721 orang pesakit kesihatan mental; tahun 2021 seramai 1,791 orang; tahun 2022 seramai 1,972 orang ; tahun 2023 seramai 2,508 orang dan tahun 2024 seramai 3,076 pesakit mental.
“Pada tahun 2024, angka baru yang direkodkan di daerah Bentong adalah sebanyak 304 orang, Lipis (78), Pekan (241), Temerloh (709), Kuantan (1,214), Rompin (72), Muadzam Shah (57), Jerantut (74), Bera (86), Jengka dan Maran (70), Raub (29) dan Cameron Highlands (42),” katanya.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata demikian menjawab soalan ADUN Kuala Semantan, Hassanuddin Salim dalam sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15, di sini, hari ini.
Hassanuddin bertanya mengenai jumlah pesakit mental di Pahang, perincian mengikut daerah dan punca-punca pesakit menghadapi masalah mental serta pendekatan kerajaan negeri untuk menanganinya.
Menurut Razali, berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dapatan menerusi saringan yang dilakukan, tekanan hidup dan masalah ekonomi merupakan antara punca utama punca kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
“Ini termasuk susulan kos sara hidup meningkat, pengangguran dan hutang isi rumah. Yang keduanya masalah keluarga dan hubungan sosial, termasuk konflik rumah tangga, perceraian dan kekurangan sokongan emosi.
“Masalah ketiga pula adalah berkaitan masalah kesihatan kronik dan bencana, manakala faktor keempat adalah persekitaran dan sosial, termasuk stigma masyarakat, keterasingan sosial serta penyalahgunaan dadah,” tambahnya.
Jelasnya, sehingga bulan Mei 2025, sejumlah 34,727 individu di seluruh negeri ini telah melalui saringan kesihatan mental.
Daripada jumlah itu, katanya seramai 541 individu telah dirujuk untuk intervensi lanjut dan seramai 70 orang telah disahkan mempunyai penyakit kesihatan mental.
“Kerajaan negeri melalui jabatan Kesihatan negeri Pahang melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi mengukuhkan kesihatan mental rakyat termasuk pengukuhan saringan dan promosi kesihatan mental.
“Kita juga telah menempatkan seramai 26 orang pegawai psikologi kaunseling di Klinik Kesihatan (KK) di semua daerah di negeri ini dan peluasan perkhidmatan secara lawatan ke-12 hospital negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















