SEBERANG JAYA – Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor mengesahkan terdapat kesan kelar pada leher wanita yang dipercayai dibunuh suaminya dan mayatnya dibiarkan hampir empat hari di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa selain tanda-tanda mangsa turut dilemaskan berdasarkan penemuan pada tubuhnya.
“Mangsa dianggarkan telah meninggal dunia kira-kira empat hari sebelum mayatnya ditemui hari ini.
“Bagaimanapun, bedah siasat penuh akan dijalankan di Hospital Seberang Jaya esok untuk menentukan punca sebenar kematian,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya berusia 44 tahun.
Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.
Susulan itu, polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















