Polis kini menunggu laporan penuh bedah siasat dua mangsa dan analisis forensik bomba berhubung kebakaran tersebut.

BUTTERWORTH – Kes dua beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Rathna, Telok Ayer Tawar di sini pada Rabu lalu, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis forensik bomba.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.45 pagi mengenai kebakaran kediaman berkenaan sebelum pasukan bomba serta polis bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan lima jentera dari Balai Bomba Penanti, Bandar Perda dan Kepala Batas, selain bantuan pasukan bomba sukarelawan Sungai Puyu dan Bagan Ajam.

“Semasa kerja-kerja pemadaman dilakukan, anggota bomba menemui seorang lelaki di bahagian belakang rumah dalam keadaan cedera di kepala sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

“Susulan itu, hasil pemeriksaan lanjut serta maklumat orang awam membawa kepada penemuan dua mayat yang tertimbus di bawah runtuhan zink, menyebabkan pasukan penyelamat mengambil masa lama untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat, sementara pasukan Forensik Bomba turut mengambil sampel di tempat kejadian bagi tujuan analisis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Anuar, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang juga telah menjalankan pemeriksaan di lokasi.

“Berdasarkan maklumat orang awam dan rakaman CCTV berhampiran, kelihatan kepulan asap dan api merebak dengan cepat lalu membakar sebahagian struktur rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Telok Ayer Tawar, Sarjan Mejar Mohamad Zain Hasim di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Media pada Rabu lalu melaporkan, seorang wanita dan anak angkatnya ditemui rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan kediaman berkembar kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, selain dua mangsa yang maut, seorang lelaki turut ditemui pada jam 10.21 pagi dalam keadaan cedera dihempap bumbung berhampiran pintu dapur.

“Mangsa, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra, 5, ditemui rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 10.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 11.21 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast