Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Isu ketirisan, kelemahan tadbir urus dan penyalahgunaan peranan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang semakin membimbangkan di banyak sekolah di negeri perlu ditangani segera.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, PIBG juga perlu diselamatkan daripada menjadi alat politik dan menolak budaya elitisme yang semakin menular dalamnya.

“PIBG sepatutnya menjadi jambatan kukuh antara ibu bapa dan guru demi kebajikan murid, namun realiti hari ini menunjukkan fungsi itu semakin tersasar.

“Terdapat sekolah yang menyaksikan penguasaan jawatan Yang Dipertua (YDP) dan Naib Yang Dipertua (NYDP) oleh kelompok tertentu, malah ada yang menjadikan jawatan tersebut sebagai platform kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suraya mendakwa, akibatnya suara ibu bapa yang sebenar tidak lagi diberi ruang, manakala kebajikan murid serta guru tergadai.

Pejuang Johor menegaskan bahawa dana kerajaan yang disalurkan ke sekolah adalah amanah besar yang perlu diurus dengan penuh integriti.

Katanya, apabila jumlah dana mencecah ratusan ribu ringgit setahun, namun tiada ketelusan dalam pelaporan, risiko salah guna menjadi sangat tinggi.

“Kami menuntut pelaksanaan audit luaran wajib, pendedahan laporan kewangan secara terbuka kepada ibu bapa serta rekod keputusan kewangan yang jelas dan boleh diakses.

“Dana kerajaan bukan milik mana-mana individu tetapi ia adalah hak anak-anak kita dan masa depan pendidikan negara,” tegasnya.

Pihaknya turut mendesak had tempoh jawatan YDP dan NYDP dalam PIBG bagi memastikan tiada penguasaan berterusan yang boleh menjejaskan proses semak dan imbang.

Jika PIBG gagal berfungsi dengan adil dan telus, beliau berkata, maka sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf Voice of Parents (VOP) sebagai saluran alternatif rasmi bagi ibu bapa menyuarakan isu terus kepada Kementerian Pendidikan.

VOP boleh menjadi mekanisme semak dan imbang apabila struktur sedia ada gagal memainkan peranan, katanya.

Selain itu, pihaknya menggesa penggunaan teknologi bagi meningkatkan ketelusan.

“Pembangunan papan pemuka dalam talian untuk memantau bajet sekolah, sistem e-voting telus untuk pemilihan jawatan PIBG serta platform maklum balas digital sama ada terbuka atau anonim yang akan memastikan ibu bapa tidak lagi terpinggir,” katanya.

Dakwanya, teknologi mampu menutup ruang manipulasi dan membuka jalan kepada penglibatan ibu bapa secara lebih demokratik.

“Pejuang Johor turut menolak budaya elitisme yang semakin menular dalam PIBG. Jawatan akademik atau status sosial tidak boleh dijadikan ukuran kelayakan memimpin.

“PIBG mesti inklusif, berbudaya amanah, dan sentiasa berorientasikan kebajikan murid serta guru. Dana kerajaan bukanlah milik segelintir pihak dan ia tidak boleh dijadikan alat kepentingan politik mahupun peribadi,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa reformasi PIBG adalah satu keperluan mendesak kerana bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi persoalan amanah, keadilan dan masa depan pendidikan negara.

PIBG ujarnya, mesti kembali kepada matlamat asalnya iaitu menjaga kebajikan murid dan guru dan memastikan bayaran yuran dikurangkan untuk mengurangkan beban keluarga yang tidak berkemampuan.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu membuka pintu kepada mekanisme semak imbang seperti VOP sekiranya PIBG gagal berfungsi.

“Pejuang Johor komited memperjuangkan ketelusan, akauntabiliti, dan pembaharuan yang benar-benar membawa manfaat kepada semua ibu bapa, guru, dan murid di negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast