PASIR GUDANG – Pembangkang didakwa akan memutar belit apa sahaja kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kepentingan politik termasuk dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, apa sahaja yang Perdana Menteri lakukan tetap akan dilihat salah oleh mereka.
Tegasnya, pembangkang dan penyokong mereka sepatutnya berhenti mencari kesalahan pada setiap tindakan kerajaan.
“Apa sahaja yang PMX lakukan tetap akan diputar sebagai salah oleh mereka. Lebih matang jika kita berbahas dengan fakta, bukan emosi dan menghormati keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang negara.
“Berdasarkan kenyataan PMX, pendirian beliau untuk tidak bersetuju dengan tuntutan pengiktirafan UEC adalah selari dengan kedudukan undang-undang negara, termasuk Akta Pendidikan 1996 serta Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menyokong penuh ketegasan ini kerana ia adalah langkah mempertahankan prinsip kerajaan dan kepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Anwar menegaskan tidak akan bersetuju dan melayan tuntutan yang melanggar prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan
Katanya, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.
Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dilapor berkata, parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.- MalaysiaGazette
















