Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei (kanan) menyambut kedatangan Mohamed Khaled Nordin di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi.

KUALA LUMPUR – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyambut baik cadangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijalankan di atas kapal kelas Gowind milik negara itu sebagai persediaan mengoperasikan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan kolaborasi latihan itu dikemukakan beliau semasa mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi.

Menurut beliau, syor itu akan diteliti UAE dengan lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan yang bersesuaian.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan UAE akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten, selari dengan hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa, yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan.

“UAE yang mengiktiraf hubungan akrab dengan Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat tempatan untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik kerajaan negara tersebut.

Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei (kanan) dan Mohamed Khaled menandatangani MoU dalam kerjasama pertahanan di Kementerian Pertahanan UAE, Dubai.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan dua hari ke UAE bermula 11 Disember 2025.

Dalam lawatan tersebut, katanya, Malaysia dan UAE telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.

Mohamed Khaled berkata, MoU ini meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh, selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh.

Melalui MoU ini, Malaysia dan UAE menzahirkan komitmen bersama, antara lain, menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan, dan membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik.

Jelas beliau, MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan, demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Malaysia dan UAE komited untuk meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan, interoperabiliti dan keupayaan angkatan kedua-dua negara.

“Saya harapkan MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat,” ujar beliau sambil menzahirkan penghargaan dan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan termasuk aspek pertahanan yang cukup penting.

Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin (berdiri) menyaksikan Mohamed Khaled menandatangani buku pelawat ketika berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi.

Ketika berada di UAE, Mohamed Khaled turut berkesempatan berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi.

Kunjungan beliau disambut Duta Besar, Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, serta seluruh warga kerja.

“Terima kasih kepada Duta Besar, TYT Tengku Dato’ Sirajuzzaman bin Tengku Mohamed Ariffin, serta seluruh warga Kedutaan atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan.

“Selain memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara di luar negara, kedutaan kita berperanan dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan, serta menyokong agenda keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast