Noor Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mencabar DAP untuk membawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke peringkat semakan kehakiman di mahkamah.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, langkah tersebut wajar bagi menamatkan serta memuktamadkan polemik berpanjangan berhubung peperiksaan UEC.

“Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa UEC adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta memenuhi aspirasi dan dasar nasional dalam bidang pendidikan, maka tiada lagi alasan untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafan UEC.

“Keputusan semakan kehakiman ini akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC, sekali gus membolehkan kerajaan dan semua pihak memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu yang lebih mendesak dalam memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Johor melahirkan rasa kesal apabila DAP, buat kesekian kalinya, terus menjadikan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai bahan permainan politik yang sempit dan bermusim.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, YB Nga Kor Ming, telah mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC, malah mengeluarkan ugutan bahawa DAP akan menarik diri daripada kerajaan sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.

“Pemilihan masa isu ini dibangkitkan sejurus selepas kekalahan teruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 jelas memperlihatkan kegusaran dan ketandusan strategi DAP dalam usaha mengekalkan sokongan pengundi Cina yang semakin terhakis,” katanya.

Desakan agar UEC diiktiraf katanya, bukan perkara baharu dan sengaja diulang dan dipolitikkan secara bermusim, khususnya menjelang pilihan raya.

Tegasnya, menjadikan isu pendidikan dan perpaduan nasional sebagai alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dilapor berkata, parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast