KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei bukan whistleblower sebaliknya pelaku rasuah yang gagal mendapatkan projek penerokaan mineral di Sabah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, istilah whistleblower tidak patut disalahgunakan demi kepentingan individu.
“Fakta paling memalukan cuba dipadam apabila Albert Tei terlebih dahulu mengaku memberi rasuah, bukan dituduh. Jadi persoalan paling jujur yang rakyat hendak tahu kenapa dan mengapa beliau merengek apabila beliau didakwa atas pengakuan beliau sendiri?
“Sejak bila pengakuan memberi rasuah mahu diangkat sebagai keberanian atau pengorbanan?
“Hentikan pemerkosaan istilah whistleblower. Whistleblower ialah mereka yang melapor salah laku tanpa terlibat melakukan jenayah tersebut.
“Saya tegaskan sekali lagi, Albert Tei bukan whistleblower tetapi beliau adalah pelaku yang kecewa kerana gagal mendapatkan projek, seperti yang diakui dirinya sendiri. Jika projek itu diperoleh, kita semua tahu kisah ini tidak akan pernah didedahkan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Danish, kenyataan peguam ahli perniagaan tersebut bahawa anak guamnya berhak dilepaskan selepas mengaku secara terbuka memberi rasuah adalah perkara yang memalukan.
“Hujah undang-undang yang dibawa peguam beliau amat memalukan profesion guaman. Ya, beliau berhak mengaku tidak bersalah di mahkamah tetapi adakah mengaku memberi rasuah secara terbuka di media juga satu hak yang kemudian mahu digunakan sebagai perisai untuk membebaskan diri?
“Jika ini logik baharu undang-undang, maka rasuah selepas ini hanya perlu diakui di media untuk dilepaskan? Inikah standard profesional seorang pengamal undang-undang?” soalnya.
Terdahulu Danish menyifatkan peguam Albert Tei bukan saja mengelirukan malah terdesak untuk ‘memutihkan’ perbuatan rasuah melalui naratif simpati, istilah palsu dan hujah songsang.
Malah, katanya, dakwaan bahawa kerajaan dan AMK dan pihak tertentu mengunci mulut mengenai isu berkenaan adalah tidak benar.
Jelas beliau, sayap parti itu konsisten menyokong tindakan bebas dan tegas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah laku rasuah sekalipun melibatkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Pendirian kami jelas dan konsisten sejak hari pertama, sesiapa yang ada dakwaan perlu membuat laporan kepada SPRM, siasat dan ambil tindakan. Titik. Tidak perlu drama, tidak perlu skrip simpati dan proses itu sedang berjalan.
“Dalam kes yang melibatkan SUPOL Perdana Menteri sendiri, pendirian kami kekal konsisten dan terbuka. SPRM mesti menyiasat secara bebas tanpa tekanan politik dan mahkamah menentukan salah atau tidak.
“Jika terbukti bersalah perlu didakwa dan hal ini sedang berjalan. Jika prinsip ini diterima dalam kes tersebut, mengapa tiba-tiba hendak melalak bila prinsip sama digunakan ke atas Albert Tei?” soalnya.
Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh dilaporkan mempersoalkan tindakan pemimpin Pemuda PKR (AMK) menyerang anak guamnya tetapi membisu terhadap ahli politik yang dikaitkan dalam skandal rasuah Sabah.
Dalam kenyataannya, Mahajoth turut mempersoalkan sekiranya serangan Danish berpunca daripada rasa tidak selesa dengan pendedahan yang dibuat ahli perniagaan itu.
Beliau turut menyifatkan Danish sebagai tergesa-gesa mempertahankan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

















Yaaa kaaa? Habis Jasmine Loo dan pengurusan 1MDB kenapa tak didakwa dan dijadikan saksi bintang? padahal terang-terangan mrk ni rasuah dan curi duit rakyat? Kenapa double standard? Itu yg rakyat nak tahu