MELAKA – DAP Melaka harus lebih bertanggungjawab dalam kenyataannnya berhubung himpunan RXZ Members Ride Edition Melaka dan bukannya mengeluarkan kenyataan berunsur populis sehingga mencetuskan persepsi negatif.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, adalah tidak adil untuk menghukum keseluruhan penganjuran acara berskala besar hanya berdasarkan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, hakikatnya acara ini telah memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri Melaka dalam dan luar bandar termasuk peniaga-peniaga kecil, industri perhotelan dan pengusaha homestay.
“Aspek ini tidak ditekankan oleh DAP Melaka, sebaliknya mereka memilih naratif sensasi yang boleh menjejaskan keyakinan pelancong.
“Mengaitkan perkara tersebut secara langsung dengan penganjuran rasmi acara ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas berkata, tiada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti haram, perlakuan berbahaya atau gangguan ketenteraman awam.
“Sebaliknya, sejak awal penganjuran kerjasama rapat telah dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Tindakan tegas terhadap pelanggaran undang-undang adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa dan kerajaan negeri menyokong sepenuhnya langkah tersebut,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran acara komuniti yang membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat Melaka, namun tidak akan pernah sesekali berkompromi terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
RXZ Members Ride ganggu kententeraman, keselamatan awam – DAP Melaka
















