Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Luruan monsun yang melanda negara sejak 13 Disember lalu dijangka berterusan sehingga 18 Disember ini, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia serta Sarawak berdepan hujan lebat berterusan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, susulan keadaan itu, amaran hujan berterusan kategori buruk telah dikemas kini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang Timur dan Johor Timur yang berkuat kuasa sehingga 18 Disember.

Selain itu, katanya, amaran hujan berterusan kategori waspada turut dikemas kini bagi sebahagian kawasan di Perak, Pahang dan Johor, manakala bagi Sarawak, amaran sama dikeluarkan sehingga 16 Disember ini.

“MET Malaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora sehingga 18 Disember bagi perairan Laut China Selatan, termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, keadaan hujan lebat berterusan dijangka beransur pulih selepas 18 Disember, namun pemantauan rapi akan terus dijalankan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Dr. Mohd Hisham menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar seperti perikanan, pelancongan laut dan aktiviti pertanian apabila amaran cuaca buruk dikeluarkan, memandangkan hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora berpotensi mendatangkan risiko dan bencana yang tidak diingini.

“Orang ramai juga disaran sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya sekiranya diarahkan berpindah apabila kawasan kediaman dinaiki air,” katanya.

Tambah beliau, maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta platform media sosial rasmi MET Malaysia di Facebook, Instagram, X dan YouTube, atau dengan menghubungi talian Hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast