MELAKA – Kesalahan bas awam berwarna merah jambu, Bas.My atau dikenali ‘bas pink’ sekali lagi mencuri perhatian apabila tular video memaparkan pemandunya dipercayai melanggar undang-undang jalan raya di sekitar pekan Alor Gajah semalam.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap tahap pematuhan keselamatan pengangkutan awam bas henti-henti itu yang turut terpalit kesalahan dalam kes berasingan minggu lalu.
Video terbaharu berdurasi 26 saat yang tersebar di media sosial itu memaparkan tindakan pemandu bas terbabit keluar simpang di laluan yang tidak dibenarkan, mempunyai garisan berkembar sehingga menghalang dan membahayakan pengguna jalan raya lain di pekan Alor Gajah.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, siasatan awal telah dimulakan susulan penularan video itu.
“Kita telah mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik syarikat bas berkenaan.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi melibatkan kenderaan pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati pemandu bas tersebut gagal mematuhi arahan dan isyarat lalu lintas, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” tambahnya.
Pada 11 Disember lalu, polis mengesahkan pemandu ‘bas pink’ berusia 47 tahun yang tular videonya melakukan aksi pemanduan berbahaya zig zag dengan sebuah Perodua Axia di Taman Angkasa Nuri, positif syabu. – MalaysiaGazette
















