PUTRAJAYA – Usaha meringankan kos sara hidup rakyat menjadi antara hala tuju utama kerajaan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu termasuk memastikan subsidi dan bantuan tunai bersasar serta meningkatkan gaji minimum agar rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos harian.
“Kos sara hidup memang betul kita kata ‘fenomena antarabangsa’, tapi kita cuba (uruskan) macam kita buat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), Jualan Rahmah dengan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), RM15 bilion, sumbangan kembali kepada rakyat untuk menampung kos sara hidup.
“Ini langkah yang diambil dan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jadi apa kekuatan kita ketimbang pembangkang, dia boleh bicara tetapi masa dia ada kuasa, dia tidak buat ini,” katanya pada Taklimat Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. Taklimat berkenaan turut disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.- BERNAMA
















