Ahmad (kiri) dan Mohamad Salzeli sidang media selepas di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, hari ini.

MELAKA – Sebanyak RM2.7 bilion diperuntukkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi melaksanakan 159 projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur Persekutuan di Melaka sepanjang tahun ini, sekali gus memperkukuh aspek keselamatan rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan besar itu merangkumi pelaksanaan projek dalam fasa perancangan, pembinaan serta penyerahan yang memberi tumpuan kepada pembangunan jalan raya, bangunan dan infrastruktur sokongan utama.

“Peruntukan RM2.7 bilion ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Melaka terus menikmati kemudahan infrastruktur yang selamat, mampan dan berdaya tahan.

“Ini sejajar dengan keperluan semasa serta cabaran perubahan iklim,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, di sini, hari ini.

Beliau disambut Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar.

Dalam lawatan itu, Ahmad Maslan turut dimaklumkan bahawa sebanyak RM58.8 juta diperuntukkan khusus bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan melibatkan jarak keseluruhan 324.95 kilometer di seluruh negeri, merangkumi laluan utama dan kawasan berisiko.

“Antara fokus utama KKR dan JKR Melaka adalah pelaksanaan projek mitigasi banjir melalui kerja menaik taraf jalan di lokasi-lokasi kerap dilanda banjir, bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran aktiviti harian penduduk.

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, malah memastikan pergerakan ekonomi dan logistik negeri tidak terganggu akibat bencana banjir selaras dengan cabaran perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri, perancangan turut melibatkan pembinaan rangkaian perhubungan baharu termasuk projek lebuh raya di Melaka.

“Selain itu, aspek keselamatan jalan raya diperkukuh menerusi pemasangan dan penaiktarafan lampu jalan, khususnya di kawasan gelap dan berisiko tinggi seperti persimpangan, selekoh dan jambatan,” katanya.

Ahmad berkata, KKR turut memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek mengikut jadual dengan pendekatan Ahead of Time (AOT), bukan lanjutan masa (EOT), bagi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada rakyat dengan lebih cepat dan berkesan.

Keseluruhan inisiatif itu, menurutnya selari dengan hala tuju Malaysia MADANI serta kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan pembangunan infrastruktur memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast