Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyelaras beberapa tindakan segera bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir di beberapa negeri dan kebajikan mereka terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk hebahan awal SMS kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), penyaluran bantuan kebajikan dan keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula ditugaskan bagi pengoperasian pam kecemasan untuk mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir.

Tambah Anwar, situasi banjir ketika ini akan terus dipantau rapi di samping bantuan disalurkan sebaik dan secepat mungkin.

“Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini serta nasib mangsa-mangsa yang terjejas.

“Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam ini,

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus di lapangan demi membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Beliau mendoakan agar musibah ini segera reda dan mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast