KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) tidak pernah mengeluarkan dokumen digital melantik National Anti-Financial Crime Centre (NFCC) sebagai entiti rasmi memulangkan wang kepada mangsa penipuan.
Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata program pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen bertajuk ‘surat pelantikan’ itu palsu dan dipercayai direka dan diedarkan bagi tujuan penipuan.
“JSJK menafikan mengeluarkan dokumen tersebut. Untuk makluman program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan adalah tidak wujud dan sebarang dakwaan mengenainya adalah palsu serta mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukannya program, sebaliknya ia komitmen Polis Diraja Malaysia dan ia tertakluk peruntukan undang-undang sedia ada, hasil siasatan yang dijalankan serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Rusi berkata, JSJK mengesan penularan dokumen digital bertajuk ‘Surat Pelantikan’ yang diwujudkan untuk mengelirukan orang ramai.
Dokumen itu kononnya ditandatangani oleh Pengarah JSJK mendakwa NFCC telah dilantik untuk membantu melaksanakan program bantuan pemulangan wang kepada mangsa penipuan.
Rusdi menasihatkan orang ramai tidak mempercayai, menyebarkan dan berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan bantuan pemulangan wang termasuklah permintaan bayaran.
“Jangan kongsi makluman peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM, JSJK atau mana-mana agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi.
“Masyarakat juga disarankan sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia atau balai polis berhampiran serta segera melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” tambahnya. -MalaysiaGazette
















