KUALA LUMPUR – Bintang Selangor FC, Faisal Halim disahkan telah kembali rujuk dengan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril pada 9 Disember lalu.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan beliau akan memfailkan permohonan rujuk berkenaan dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, memang benar Faisal dan bekas isterinya sudah kembali rujuk.
“Saya akan memfailkan permohonan rujuk ini dalam waktu terdekat,” katanya seperti dilaporkan.
Menurut Akberdin, keputusan untuk kembali bersama dibuat atas dasar kasih sayang yang masih utuh, selain komitmen kedua-dua pihak untuk membesarkan anak lelaki mereka secara bersama.
“Soal jodoh ini rahsia Tuhan dan apa-apa boleh berlaku. Saya tumpang gembira apabila Faisal memaklumkan dia sudah kembali bersama bekas isterinya.
“Selama ini pun dia sangat mencintai isteri dan anaknya. Kita doakan semoga rumah tangga mereka kekal bahagia,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Faisal sah bercerai talak dua dengan Nur Syazwani di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 10 November lalu.
Talak pertama dilafazkan pada 11 Jun lalu, namun pasangan itu kembali rujuk pada hari yang sama.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. – MalaysiaGazette
















