KUALA LUMPUR – Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan perniagaan miliknya untuk menerima sumbangan orang awam tanpa mengemas kini butiran berdaftar perniagaan tersebut.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan hari ini.
Wan Muhammad Azri diwakili peguam Muhammad Amirul Ar-Rasyid manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anas Mahadzir.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku individu yang bertanggungjawab ke atas perniagaan Invoke Solutions didakwa menjalankan perniagaan tanpa mengemukakan perubahan terhadap butiran berdaftar dalam tempoh antara 24 Oktober 2017 hingga 30 November 2017.
Invoke Solutions didaftarkan melalui Borang A (Kaedah 3) sebagai perniagaan runcit dan pengurusan majlis, namun tertuduh didakwa gagal mengemas kini maklumat berdaftar apabila perniagaan tersebut digunakan bagi tujuan penerimaan sumbangan daripada orang awam.
Menurut pertuduhan, sumbangan berkenaan diterima bagi membantu tertuduh membayar saman dalam satu kes sivil difahamkan berkaitan kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar tahun 2016, Papagomo diarahkan mahkamah membayar jumlah ganti rugi RM800,000.
Pendakwaan mengemukakan pertuduhan mengikut Kaedah 17A(1)(b) Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12A Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding, peguam tertuduh memohon agar mahkamah menetapkan jumlah wang jaminan yang rendah dengan alasan Wan Muhammad Azri merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
Difahamkan beliau menanggung ibu bapa dan isteri serta mempunyai lima orang anak, termasuk seorang anak bongsu yang menghidap autisme dan memerlukan penjagaan berterusan.
Selain itu, OKS juga mempunyai beberapa kes lain yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.
Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 30 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















