KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam, mengumumkan senarai 14 pemain bagi menggalas cabaran Malaysia pada Kejuaraan Futsal Bawah 19 Tahun (B-19) ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Nonthaburi, Thailand dari 23 hingga 29 Disember ini.
Rakphol, yang menggalas misi penting dalam edisi sulung kejohanan tersebut, dibantu oleh dua penolong ketua jurulatih iaitu Muizuddin Mohd Haris dan Mohd Taufik Yaiyah, selain jurulatih penjaga gol, Jasman Patmee Mohamed Meera.
Pengurusan pasukan pula diterajui oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM selaku Pengurus Pasukan, dibantu Mimi Afzan Afza sebagai Penolong Pengurus Pasukan.
Skuad futsal Harimau Malaya B-19 dijadual berlepas ke Bangkok pada 16 Disember ini bagi menjalani persiapan terakhir selama seminggu, termasuk beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum saingan rasmi bermula.
Kejohanan edisi pertama ini hanya disertai enam pasukan selepas Kemboja menarik diri. Kumpulan A menampilkan tuan rumah Thailand, Vietnam dan Brunei, manakala Kumpulan B dibarisi Malaysia, Indonesia dan Myanmar.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Myanmar pada Selasa, 23 Disember, diikuti perlawanan Myanmar menentang Indonesia pada Rabu, 24 Disember sebelum skuad negara berdepan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis, 25 Disember 2025.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 27 Disember, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final akan diadakan pada Isnin, 29 Disember 2025.
Kesemua perlawanan Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 akan berlangsung di Stadium Nonthaburi, Thailand. – MalaysiaGazette
















