KUALA LUMPUR – Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa bukan beban yang perlu `ditoleransi’, tetapi aset nasional yang perlu diperkasakan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, kepelbagaian yang diurus dengan hikmah melahirkan masyarakat lebih kreatif, lebih terbuka, dan lebih berdaya saing.
Menurutnya, kepelbagaian juga menjadikan Malaysia unik sebagai negara yang mampu membina ruang bersama tanpa memadam identiti masing-masing.
Namun, tambah beliau, aset itu hanya akan menjadi kekuatan jika kita membina perpaduan berdasarkan nilai bukan semata-mata sentimen.
“Di sinilah kerangka Malaysia Madani menjadi kompas penting. Enam nilai terasnya bukan slogan pentadbiran, tetapi landasan moral untuk menyatukan rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Yuneswaran yang merupakan Ahli Parlimen Segamat merupakan muka baharu dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu, bagi menggantikan K. Saraswathy.
Sementara itu, Yuneswaran berkata, perpaduan juga memerlukan keyakinan kepada institusi, proses, keadilan, dan integriti.
Menurutnya, rakyat tidak akan mudah bersatu jika mereka berasakan undang-undang tidak adil, pentadbiran berat sebelah, atau rasuah dibiarkan.
Sehubungan itu, ujarnya, perpaduan bukan hanya isu hubungan antara komuniti, tetapi juga soal membina kepercayaan melalui tadbir urus yang telus, berintegriti dan inklusif.
Dalam membina perpaduan juga, tambah beliau, semua pihak tidak boleh menafikan cabaran baharu iaitu politik kebencian dan budaya “viral”.
“Satu petikan video boleh dipotong, satu ayat boleh disalah tafsir, dan satu fitnah boleh merebak lebih pantas daripada fakta.
“Algoritma kadang-kadang memberi ganjaran kepada kemarahan, bukan kebenaran,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, literasi digital dan disiplin menyemak fakta mesti menjadi sebahagian daripada agenda perpaduan nasional.
“Kita perlu tegas bahawa rasisme, penghinaan agama, dan ekstremisme tidak boleh dinormalisasi atas nama `kebebasan bersuara’,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















