Pengerusi Akademi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap pada Konvensyen NUNJI 2025 di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Konsep Politik Rahmah diketengahkan sebagai pendekatan utama dalam kerangka Malaysia Madani bagi memastikan keadilan sosial, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum serta agama terus terpelihara

Pengerusi Akademi Nahdah Ulama Nahdah Jadidah NUNJI, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, politik rahmah berperanan mengurus kepelbagaian kaum dan agama berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip perundangan, di samping menjadi jambatan membela golongan tertindas khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau menjelaskan, pendekatan itu juga menekankan kesaksamaan hak asasi dan usaha mengangkat maruah rakyat melalui dasar sara hidup, pendidikan dan ekonomi yang mampu menaikkan siling pertumbuhan serta lantai taraf hidup rakyat.

“Politik Rahmah berbeza secara jelas dengan politik identiti yang bergantung kepada sentimen kebencian kaum dan agama sebagai alat mobilisasi sokongan.

“Politik identiti sering membina naratif ancaman kaum lain dan kegagalan ekonomi, sedangkan Politik Rahmah memberi tumpuan kepada perubahan struktural bagi melonjakkan ekonomi secara mampan.

“Politik identiti berpotensi membawa kepada ekstremisme dari segi kenyataan dan tindakan serta mendakwa mewakili kaum dan agama secara monopoli. Sebaliknya, politik rahmah bersifat sederhana, berhikmah, inklusif dan progresif dengan menjunjung nilai hak kemanusiaan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen NUNJI 2025 “Politik Rahmah: Mengukuh Agenda Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Mengulas mengenai hala tuju negara, Mujahid menegaskan, politik rahmah mampu menjadi asas pembinaan konsensus nasional yang merentasi kaum, agama, wilayah dan ideologi politik.

Konsensus itu, jelas beliau, penting bagi mempertahankan asas negara seperti Perlembagaan Persekutuan, keadilan sosial, kesepaduan kaum, integriti pentadbiran, kedaulatan undang-undang serta pertahanan negara.

Tambahnya, konsensus nasional juga berfungsi sebagai garis merah terhadap politik kebencian di samping menggalakkan persaingan idea yang sihat, menjadikan agama sebagai sumber nilai, tonggak Melayu sebagai pemersatu dan kedaulatan ekonomi sebagai tanggungjawab bersama.

Mujahid turut menegaskan bahawa, politik perkauman tidak lagi relevan untuk jangka panjang dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia kerana keburukan yang dibawanya.

Katanya lagi, kelesuan rakyat terhadap politik toksik menuntut pemimpin dipandu kompas moral yang jelas dalam memimpin negara.

“Politik Rahmah adalah jalan masa hadapan Malaysia dengan penekanan kepada perubahan struktural, keadilan, tatakelola kewangan yang telus serta pembangunan ekonomi baharu yang lestari dan hijau.

“Semua ini memerlukan kestabilan politik yang hanya boleh dicapai melalui konsensus nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast