KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas bermula 23 hingga 27 Disember ini, bersempena sambutan perayaan Krismas pada 25 Disember depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim itu dilaksanakan selama lima hari meliputi dua hari sebelum perayaan, hari perayaan serta dua hari selepas perayaan bagi memastikan pengguna menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga.
“Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 ini ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa agar pengguna mendapat harga munasabah, pada masa sama peniaga tidak tertekan dengan tempoh kawalan yang terlalu lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 14 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim berkenaan, termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, sayur-sayuran terpilih, kepak ayam serta daging dan ternakan babi bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelas beliau, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri.
“Penguatkuasaan SHMMP Krismas 2025 akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP), dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Selain pelaksanaan skim tersebut, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bermula 18 hingga 27 Disember ini sebagai sebahagian usaha menangani kos sara hidup sempena perayaan. -MalaysiaGazette















