KUALA LUMPUR – Pelantikan kepimpinan termasuk Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) daripada kaum Cina tidak sewajarnya dinilai berdasarkan warna kulit atau asal usul kaum.
Sebaliknya, Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Loh Ker Chean berkata, ia mesti diukur melalui amanah yang dipikul, sumpah jawatan yang dilafazkan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Menurutnya, Malaysia tidak dibina atas sentimen sempit atau dominasi satu kelompok ke atas kelompok yang lain.
“Sejak merdeka, kita memilih jalan kerukunan dalam kepelbagaian dengan berpegang kepada prinsip saling menghormati, keadilan dan tanggungjawab bersama.
“Prinsip inilah yang menjamin keamanan dan kemenjadian negara sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ker Chean turut menyambut baik aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR yang ingin menterjemahkan nilai kepelbagaian menerusi rombakan Kabinet yang baharu diumumkan.
Ujarnya, Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran dan wajah Malaysia, harus dipimpin dengan semangat kenegaraan yang tinggi.
Tambah beliau, kepimpinan di Wilayah Persekutuan perlu meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan, serta memastikan setiap dasar berpaksikan kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang.
“Perbahasan awam yang matang tidak seharusnya tersasar ke arah pertikaian identiti yang boleh menghakis keharmonian nasional.
“Tumpuan kita mestilah terarah kepada persoalan akauntabiliti, sejauh mana kepimpinan yang dilantik mampu melunaskan amanah, bekerja merentas perbezaan, dan meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen perkauman,” katanya. – MalaysiaGazette
















