KUALA LUMPUR – Kediaman Datuk Seri Najib Razak kembali lengang susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakimannya berhubung titah adendum hari ini.
Setakat 10.55 pagi, hanya beberapa orang pengamal media kelihatan berada di luar perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Tiada kelibat penyokong mahupun sanak saudara beliau seperti petang semalam dan malam tadi.
Terdahulu, Najib kekal menjalani baki hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak semakan kehakimannya.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Sebagai rekod, Najib sehingga kini sudah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.
Najib dipenjara 12 tahun dan dikenakan denda RM210 juta namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Bagaimanapun, beliau memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16. -MalaysiaGazette
















