KUALA LUMPUR – Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegur sikap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang didakwa ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu tidak wajar kerana keputusan mahkamah berkenaan melibatkan penderitaan dan kesan besar terhadap individu serta keluarga terlibat.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi media sosial hari ini.
Terdahulu, Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Susulan keputusan itu, mahkamah memerintahkan Najib untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Razlan Rafii turut mengecam hantaran Bee Yin itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkenaan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap Najib.
“Ini kenyataan yang sangat kurang ajar! Tunggu waktu orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan kamu,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah selepas mendapati isu berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan anak guamnya kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan akan meneliti langkah perundangan seterusnya. – MalaysiaGazette
















