Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO memberi isyarat tegas bahawa parti itu tidak seharusnya terus berkompromi sekiranya wujud pihak yang didakwa menghina bekas pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Kenyataan Yeo Bee Yin yang juga merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP ini adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi memberi bayangan jelas bahawa UMNO tidak wajar terus berdiam diri sekiranya sumbangan dan perjuangan parti itu terus dipandang ringan oleh rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya.

Terdahulu, Bee Yin memuat naik satu hantaran yang dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Susulan keputusan itu, mahkamah memerintahkan Najib untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi menegaskan, sekiranya mana-mana pihak dalam kerajaan tidak mampu menzahirkan rasa simpati, mereka seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati serta menghina pihak lain.

“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kenyataan tersebut lebih dikesali kerana individu yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi negara yang amat disayangi oleh keluarga besar UMNO, yang kini turut memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jangan cakap saja buktikan lah.. Keluar dari kerajaan perpaduan ni… Jawatan nothing to compare dgn maruah… Nanti diorg cakap tu pandangan peribadi bukan dari DAP… Melayu UMNO bodoh akan terima & menikus balik dlm kerajaan demi jawatan…

Comments are closed.