Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) WP tidak perlu ‘mengajar’ kepimpinan UMNO susulan kritikan terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia berhubung isu melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, kenyataan AMK WP yang melabel Datuk Dr Akmal Saleh sebagai pilih kasih adalah tidak wajar dan bersifat mencampuri urusan parti lain.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi semalam amat meruntuhkan jiwa ahli-ahli UMNO namun apa yang lebih mengecewakan ialah perubahan pendirian parti lawan berhubung isu titah adendum.

“Pada awalnya adendum ini dikatakan sekadar hearsay oleh pimpinan parti kamu. Kemudian ia menjadi nyata, dibawa ke mahkamah dan akhirnya dikatakan tidak sah. Jadi siapa sebenarnya yang flip-flop?” soalnya dalam kenyataan.

Aliff Firdaus berkata, UMNO tidak pernah menuntut layanan istimewa namun menegaskan parti itu tidak wajar dipandang remeh dalam kerajaan.

“Kalau rasa kami ini tidak diperlukan, cakap terus terang. Kami tidak ada masalah untuk keluar daripada kerajaan. Lebih baik menjadi pembangkang yang bermaruah daripada menjadi balaci parti yang tidak tahu mengenang budi,” tegasnya.

Beliau turut mengecam kenyataan-kenyataan yang disifatkan sebagai biadab daripada parti komponen tertentu ketika UMNO sedang berdepan kekecewaan susulan keputusan mahkamah tersebut.

Menurut Aliff Firdaus, ketika presiden parti lawan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara, tidak pernah seorang pun pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kenyataan menghina atau memperlekehkan keadaan itu.

“Malah selepas keputusan mahkamah dibuat, kami juga tidak berperangai seperti kamu yang turun ke jalan berdemo, memusnahkan harta benda awam dan menghina pihak berkuasa dengan kata-kata kesat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan AMK WP supaya tidak mencampuri urusan pihak lain sebaliknya menumpukan usaha membimbing kepimpinan sendiri agar bercakap benar dan berlaku adil ketika memegang kuasa.

Aliff Firdaus juga mendesak AMK WP supaya menegur DAP agar tidak terus mengeluarkan kenyataan yang biadab dan mencabar kesabaran pihak lain.

“Setiap orang ada tahap kesabaran tersendiri. Jangan terlalu mencabar, bimbang nanti perbuatan itu memakan diri,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Akmal jangan pilih kasih dalam kes mahkamah – Asheeq

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast