KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) telah melantik peguam bagi mengikuti prosiding kes titah adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai peguam pemerhati kerana bimbang terhadap implikasi perundangan yang membabitkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diambil kerana prosiding di mahkamah tinggi berkenaan menyentuh hal kuasa memberi pengampunan yang diperuntukkan secara jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Perikatan Nasional berpandangan urusan pengampunan adalah kuasa prerogatif tertinggi YDPA dan Raja-Raja Melayu yang wajib dihormati.
“Perikatan Nasional tidak mahu YDPA dan Raja-Raja Melayu dilihat sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, urusan pengampunan merupakan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu wajib dihormati serta tidak boleh dipandang ringan.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menjelaskan, kuasa prerogatif tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam Laporan Suruhanjaya Reid bagi memelihara kuasa dan prestij institusi Diraja, seperti yang telah diterjemahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketua Hakim Negara dalam kes tersebut memutuskan kuasa pengampunan merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang bersifat non-justiciable, sekali gus meletakkannya di luar bidang kuasa semakan kehakiman,” katanya lagi.
Dalam pada itu, PN berpandangan kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang berlaku ketika ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan titah adendum sejak awal.
“Sehubungan itu, Perikatan Nasional menggesa kerajaan mengkaji semula perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kuasa prerogatif pengampunan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan kekal, jelas dan terpelihara,” jelasnya.
Awal hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh YDPA dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan Perlembagaan adalah jelas dan berada dalam kerangka undang-undang tertinggi negara.
Justeru itu, sebarang kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja. – MalaysiaGazette
















