Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Pendirian MCA dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak pernah berganjak namun persoalan itu dilemparkan kepada DAP yang kini dilihat seolah-olah terkunci mulut meskipun sudah memegang kuasa mutlak dalam kerajaan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kegagalan pengiktirafan sijil tersebut sebelum ini berpunca daripada kedegilan DAP dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang enggan bertolak ansur.

“Ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah pun membuka pintu rundingan untuk mengiktiraf UEC dan disertakan dengan syarat yang cukup jelas.

“Saya masih ingat, apabila kita keluarkan cadangan supaya silibus UEC ditambah baik dengan memasukkan Sejarah Malaysia dan Bahasa Kebangsaan, DAP bersama Dong Zong membantah sekeras-kerasnya.

“Mereka mahu kekalkan silibus asal tanpa ruang penambahbaikan. Walhal Najib sudah maklum secara terbuka sedia mengiktiraf asalkan kurikulum Sejarah dan kedudukan Bahasa Kebangsaan diperkukuhkan.

“Tetapi mereka tidak terima,” katanya ketika menjadi panel program Podcast MG baru-baru ini.

Choo Seong juga mempersoalkan mengapa naratif yang diperjuangkan DAP sebelum ini hilang begitu sahaja selepas menjadi sebahagian daripada pembuat dasar negara.

“Sekarang mereka berkuasa mutlak. Ada jawatan menteri, ada dalam Kementerian Pendidikan dan ada kedudukan membuat dasar, jadi, kenapa hari ini isu ini senyap?” soalnya.

Katanya lagi, perkara UEC tidak seharusnya ditanyakan kepada MCA memandangkan parti iu tidak ada dalam Kabinet.

“Pihak yang memegang kuasa hari ini yang perlu menjawab sama ada mahu mengiktirafnya atau tidak. Isu pendidikan seperti UEC tidak seharusnya dilihat daripada lensa perkauman yang sempit sebaliknya perlu berpijak di bumi nyata dengan menghormati identiti nasional,” katanya.

Jelas Choo Seong, pengiktirafan silibus pendidikan di negara ini wajib selaras dengan Dasar Pendidikan Negara bagi memastikan setiap anak muda Malaysia mempunyai ideologi dan pemahaman sejarah yang seragam.

“Kita tidak mahu anak-anak kita duduk dalam satu negara tapi belajar sejarah yang berlainan. Kalau sekolah British belajar sejarah Inggeris, sekolah Cina belajar sejarah China semata-mata, itu tidak baik untuk keharmonian negara.

“Sebab itu kita mahu silibus teras seperti Sejarah diajar mengikut kurikulum kebangsaan. Ini soal pendidikan bukan rasis, barulah adil dan harmoni untuk semua,” jelasnya lagi.

UEC yang menjadi perdebatan sebelum ini jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) selain tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN).

UEC juga tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan dalam Akta 550. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast