Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Konflik politik yang berlaku di Perlis bukan sekadar isu negeri berskala kecil, sebaliknya berpotensi menjadi ujian penting terhadap dinamika hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kemungkinan Pas meninggalkan PN akibat konflik di Perlis itu misalnya, wajar dilihat secara realistik dan bukan emosional.

Apatah lagi, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA berkenaan, Pas secara tradisinya cenderung mengutamakan kestabilan jangka panjang dan kesatuan ummah politik, berbanding tindakan drastik yang boleh dilihat sebagai tidak konsisten.

Tambahnya, sejarah politik Pas juga menunjukkan parti itu lebih memilih untuk menstruktur semula hubungan gabungan daripada memutuskannya secara mengejut.

Dr Hussain Yusri Zawawi.

“Walaupun konflik ini tidak serta-merta membawa kepada perpisahan, ia tetap mempunyai implikasi penting.

“Jika konflik negeri seperti di Perlis berulang dan gagal diselesaikan secara baik, ia boleh menghakis kepercayaan dalaman, melemahkan disiplin gabungan dan menjejaskan imej PN sebagai alternatif kerajaan yang stabil,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ditamatkan keahlian serta-merta sehingga membuka laluan kepada kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK).

Tindakan tegas itu diambil Pas selepas tiga ADUN berkenaan bersama lima ADUN Bersatu dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang disifatkan telah mengganggu kestabilan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan atau tindakan diambil pemimpin Bersatu terhadap lima ADUN mereka berkenaan, meskipun di sebalik desakan pemimpin Pas supaya ia dilakukan segera.

Sementara itu, Hussain Yusri berkata, secara jangka panjang, cabaran sebenar PN bukanlah konflik di Perlis itu semata-mata, tetapi keupayaan gabungan membina mekanisme pengurusan konflik yang matang, telus dan berwibawa.

Menurutnya, perkara itu akan menentukan sama ada PN mampu bertahan sebagai gabungan jangka panjang atau sekadar pakatan pilihan raya sementara.

Sehubungan itu, ujar beliau, Bersatu perlu menyatakan pendirian rasmi bahawa konflik politik di Perlis akan ditangani dalam kerangka PN, bukan secara unilateral atau tertutup.

Tambahnya, kenyataan itu penting untuk memulihkan keyakinan rakan gabungan dan mengelakkan tafsiran bahawa parti tersebut mengambil sikap berkecuali secara selektif.

“Bersatu wajar mencadangkan penubuhan jawatankuasa bersama Pas–Bersatu-PN di peringkat pusat bagi menilai konflik Perlis secara objektif.

“Pendekatan ini menekankan penyelesaian berasaskan rasional, bukan personaliti atau emosi politik,” katanya.

Tambah beliau, Bersatu juga perlu mengawal naratif awam supaya konflik di Perlis tidak dilihat sebagai kegagalan PN secara keseluruhan.

Katanya, jika Bersatu gagal mengambil peranan kepimpinan itu, konflik tersebut berpotensi bukan sahaja melemahkan kedudukan parti itu di Perlis, tetapi juga menghakis kekuatan PN secara keseluruhan.

“Dalam politik gabungan, kebijaksanaan memimpin ketika krisis sering menjadi penentu antara kelangsungan gabungan atau keruntuhan sesebuah pakatan,” katanya.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast