KUALA LUMPUR – Pasukan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyediakan bekalan elektrik sementara ke sebahagian Blok C, Flat Seri Perantau di Pelabuhan Klang sejak 17 Disember lalu, susulan kejadian kebakaran di bilik sesalur elektrik (DB) bangunan berkenaan, kira-kira awal bulan ini.
TNB Careline menerusi Facebook semalam berkata, bekalan sementara disalurkan sementara kerja-kerja pembaikan menyeluruh dilaksanakan oleh pengurusan bangunan flat.
Dalam masa yang sama katanya, pasukan yang sama bersedia menyalurkan bekalan elektrik sebaik sahaja kerja pembaikan disempurnakan dan disahkan selamat untuk penyambungan semula.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/24/sudah-18-hari-blok-c-flat-seri-perantau-tiada-elektrik/
“TNB amat memahami dan bersimpati dengan kesulitan yang dialami para penduduk Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang yang tidak menerima bekalan elektrik akibat dari kejadian kebakaran yang berlaku di bilik DB di bawah pengurusan bangunan flat tersebut,” katanya.
MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan, kira-kira 600 penduduk melibatkan 128 unit di Blok C, Flat Seri Perantau hidup dalam sengsara akibat ketiadaan bekalan elektrik selama 18 hari.
Ia susulan sistem pendawaian elektrik di bangunan tersebut rosak akibat kebakaran di bilik DB pada 7 Disember lalu.
Sementara itu, Pengerusi Blok C, Flat Seri Perantau, Azizul Anuar Abu Karim ketika dihubungi berkata penyambungan elektrik sementara oleh TNB itu hanya melibatkan 46 daripada 128 buah rumah yang terjejas.
Jelasnya, ia melibatkan penyambungan untuk tingkat 1,5,6 7 dan lapan.
Manakala selebihnya tidak mendapat bekalan elektrik sementara, ekoran wayar bumi rumah-rumah berkenaan yang terjejas akibat kebakaran itu. -MalaysiaGazette
















