KOTA TINGGI – Polis sedang mengesan seorang gadis berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Teluk Jeri Luar, Tanjung Sedili, di sini sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, keluarga mangsa memaklumkan gadis tersebut tiada di rumah kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian.
Katanya, orang hilang itu dikenali sebagai Nur Damia Maisarah Muhammad Rashid dan bekerja sebagai pekerja swasta.
“Gadis berkenaan dipercayai meninggalkan rumah kerana mempunyai masalah peribadi. Susulan itu laporan polis dibuat pada hari ini kira-kira pukul 1 tengah hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, Nur Damia Maisarah mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter dengan berat badan 40 kilogram.
Katanya, gadis itu mempunyai fizikal berambut kerinting paras bahu berwarna hitam, bermata coklat, berbibir nipis, berhidung mancung serta berkulit putih.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa agar tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi 07-883 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Aizat Ahmad 018-246 4667,” katanya. MalaysiaGazette
















