KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan Pas sebagai `bom jangka’ dalam mana-mana hubungan atau gabungan politik.
Menurut beliau, sejak 1973 hingga kini, Pas telah menyertai sekurang-kurangnya tujuh pakatan utama politik, tetapi hampir kesemua hubungan itu tidak bertahan lama dan sering berakhir dengan konflik, perpecahan dasar atau pembubaran.
Malah, dakwanya, hubungan politik Pas dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini juga dinilai sudah semakin nazak.
“Umum mengetahui Pas menjadi punca perpecahan dan kali ini giliran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menjadi mangsa.
“Semuanya adalah untuk menghalalkan keghairahan Pas menjadi bos besar PN atau mana-mana pakatan politik.
“Ini bukan soal persepsi, tetapi fakta yang berulang kali berlaku. PAS ibarat ‘kambing apabila didekati, pasti ada yang lari kerana baunya’,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, tiada parti tunggal yang boleh mentadbir negara berdasarkan rekod 15 pilihan raya umum (PRU), justeru peluang Pas mentadbir negara sangat berisiko kerana ketidakstabilan yang boleh wujud apabila mentadbir kelak.
Menurutnya, perkara itu terbukti berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri yang mana ketika itu, UMNO dikhianati dengan Pas memilih Bersatu (PN), bukannya UMNO (Muafakat Nasional).
Selain itu, jelasnya, prestasi ekonomi yang buruk di negeri-negeri yang ditadbir Pas-PN (SG4) juga membuktikan gabungan politik tersebut tidak berkemampuan mengemudi tampuk pemerintahan negara.
“Dari sudut prestasi pentadbiran dan pengurusan ekonomi, ternyata Pas gagal.
“Pas terus membuktikan mereka tidak mampu memberikan suatu pemerintahan yang stabil, berkualiti dan berdaya maju, serta promasyarakat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

















PAS terbaik PN untuk Malaysia