BUKIT MERTAJAM – Operasi mencari seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Ban Sungai Belanak, Juru di sini, ditangguhkan selepas tiga hari pencarian tanpa sebarang petunjuk.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa, Ariff Aiman Ishak, 23, ditamatkan pada jam 6.30 petang hari ini.
“Mangsa masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada Sabtu lalu, menyebabkan Pusat Kawalan Bencana (PKB) ditutup selepas operasi memasuki hari ketiga.
“Operasi akan disambung semula sekiranya terdapat tanda-tanda penemuan mangsa atau petunjuk baharu berkaitan kejadian,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai kejadian John Sagun berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 petang selepas abang mangsa membuat laporan apabila adiknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing.
“Barangan milik mangsa seperti topi keledar dan peralatan memancing ditemui masih berada di atas pelantar dalam keadaan baik.
“Pengadu bimbang adiknya telah hilang sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya. – MalaysiaGazette















