KUALA LUMPUR – Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis baharu, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam masa sama, menurutnya, semua Exco sedia ada dalam kerajaan negeri daripada Pas akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Bagaimanapun, tambah beliau, Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti itu dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Pas menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Takiyuddin, Pas juga bersedia menerajui PN bagi memperkasakan organisasi dan persiapan bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU-16.
“Pas juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat,” katanya.
Awal hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN, dipercayai susulan krisis politik di Perlis yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin Pas terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
DUN Perlis ketika ini terdiri daripada enam wakil rakyat Pas; Bersatu (5) dan seorang Pakatan Harapan (PH) dengan tiga kerusi DUN diisytihar kosong susulan keputusan Pas menamatkan keahlian tiga ahli mereka sebelum ini. – MalaysiaGazette
















