Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar bercakap di sidang media khas PEMUDA PAS Selangor ‘Bajet Selangor 2026’ di Pejabat Pemuda PAS, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas Pusat perlu melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penilaian itu bukan didorong oleh emosi atau kepentingan sempit, tetapi berdasarkan realiti politik semasa serta maslahat jangka panjang parti dan rakyat.

Menurut beliau, prestasi Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini jelas menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Malah, katanya, realiti di banyak kawasan juga menunjukkan Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan Pas untuk kelangsungan politik parti itu.

“Namun, tuntutan kerusi dan pengaruh sering kali tidak seimbang dengan sumbangan sebenar.

“Ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Sukri, pendakwaan dan siasatan terhadap pimpinan utama Bersatu turut memberi kesan negatif kepada keseluruhan PN.

Katanya, walaupun Pas tidak terlibat, namun persepsi rakyat melihat gabungan itu sebagai satu entiti.

“Pas tidak seharusnya terus berperanan sebagai “penyelamat” kepada parti lain sehingga merugikan masa depan perjuangan sendiri,” katanya.

Menurutnya, memutuskan atau menilai semula hubungan politik adalah sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.

Apatah lagi, ujarnya, `pengkhianatan’ dan `tikam kawan’ yang berlaku baru-baru ini menyedarkan Pas betapa pentingnya elemen kejujuran dan kesetian bagi merealisasikan matlamat perjuangan bersama. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast