JOHOR BAHRU – Pas Johor menafikan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini bergolak susulan peletakan jawatan Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor hari ini.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menepis dakwaan PN Johor kini berdepan kecelaruan dan kerapuhan dalaman selepas Dr Sahruddin meletak jawatan.
“Bagi saya, tidak timbul isu bergolak. Hubungan kami sangat baik dengan Dr Sahruddin, begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor.
“Bulan lepas, mesyuarat PN Johor yang diadakan di Batu Pahat berjalan lancar. Mesyuarat itu turut disertai Dr Sahruddin,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad dilaporkan berkata, krisis kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju yang melanda PN di peringkat Pusat kini didakwa turut menular ke peringkat negeri, khususnya di Johor.
Kenyataan Faezuddin itu susulan peletakan jawatan Dr Sahruddin yang mengikut langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN malam tadi.
Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, pelantikan Pengerusi PN Johor yang baharu nanti adalah sepenuhnya di bawah kuasa kepimpinan PN pusat.
Perkara itu katanya, selaras dengan perlembagaan PN yang menetapkan kuasa melantik Pengerusi negeri terletak kepada Pengerusi PN Pusat.
“Kita tunggu keputusan PN Pusat. Kuasa melantik Pengerusi PN negeri-negeri ini terletak di bawah Pengerusi PN pusat.
“Situasi sama turut berlaku sebelum ini apabila Datuk Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi PN Johor oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Pengerusi PN Pusat,” katanya.- MalaysiaGazette
















