Azizee Ismail.

GEORGE TOWN – Seorang pesara wanita mengalami kerugian RM462,000 selepas menjadi mangsa penipuan phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman serta wakil Bank Negara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 58 tahun merupakan pesara swasta itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil Touch ‘n Go sebelum memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan daripada akaun yang didaftarkan atas namanya.

“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Pulau Pinang sebelum mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta satu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya.

“Mangsa seterusnya dihubungkan pula dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman dan diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi tujuan siasatan.

“Mangsa diminta menyerahkan butiran perbankan dan diarahkan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun Maybank miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azizee, susulan itu, mangsa telah memindahkan wang KWSP berjumlah RM460,000 ke dalam akaun tersebut pada 10 Disember lalu.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM230,000 untuk diserahkan bersama kad ATM kepada kononnya wakil Bank Negara bagi tujuan siasatan.

“Pada hari yang sama, mangsa telah menyerahkan wang tunai dan kad ATM kepada seorang lelaki Melayu yang tidak dikenali di tepi jalan sekitar kawasan Batu Feringgi.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada adiknya pada 22 Disember lalu sebelum membuat semakan dengan pihak bank.

“Hasil semakan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM232,000 secara berperingkat daripada akaun mangsa sebelum wanita itu tampil membuat laporan berhubung kejadian di IPD Timur Laut pada 22 Disember lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast